Mengenai Jaminan Kami

Apakah Insuran Jaminan Kewangan?

Insuran Jaminan Kewangan /Jaminan Kewangan, yang biasanya dikenali sebagai “Wrap” atau ” Credit Wrap” di pasaran modal, merupakan jaminan bon/sukuk di mana pemberi Jaminan Kewangan (Penjamin) berjanji mengambilalih peranan membayar kupon/keuntungan (“faedah”) dan bayaran pokok kepada pemegang bon/sukuk bagi pihak penerbit, jika ada sebarang tuntutan pembayaran.

Untuk menggunakan kemudahan jaminan kewangan ini, penerbit bon/sukuk dikenakan bayaran fi kepada penjamin.

Bagaimanakah Jaminan Kewangan Danajamin berfungsi?

Jaminan Kewangan Danajamin berfungsi sebagai satu bentuk penambahbaikan/peningkatan kredit untuk bon/sukuk yang diterbitkan.

Bon/sukuk yang telah dijamin oleh Danajamin akan secara automatik dinaik taraf ke AAA(fg), iaitu penarafan tertinggi yang diberikan kepada bon/sukuk. Dengan peningkatan taraf ini, kejayaan penerbitan sesuatu bon/sukuk adalah lebih terjamin. Pelabur-pelabur pula dapat melabur dalam bon/sukuk yang bertaraf AAA(fg) yang dijamin oleh Danajamin.

Adakah Jaminan Kewangan Danajamin muktamad & mutlak?

Ya. Sebagaimana Jaminan Bank, Jaminan Kewangan Danajamin adalah muktamad & mutlak. Sila rujuk halaman Jaminan Kewangan Kami untuk maklumat lanjut tentang Jaminan Kewangan Danajamin.

Danajamin telah menjamin banyak bon/sukuk sejak 2010. Adakah perbezaan di antara Jaminan Kewangan ini yang akan mempengaruhi tahap perlindungan yang diberi kepada pelabur?

Tidak. Semua Jaminan Kewangan yang dikeluarkan oleh Danajamin sehingga kini bersifat muktamad dan mutlak, dan menawarkan tahap perlindungan yang sama kepada semua pelabur.

Apabila tuntutan pembayaran dikemukakan, secepat manakah Danajamin akan membuat bayaran kepada pelabur/pemegang amanah?

Seperti yang ditetapkan di dalam kontrak, Danajamin wajib membayar sebarang tuntutan yang dikemukakan dalam tempoh 10 hari perniagaan. Bayaran dan tempoh bayaran kepada pelabur/pemegang amanah tidak akan terjejas oleh sebarang tuntutan terhadap penerbit bon tersebut melalui proses guaman.

Mengapakah Danajamin sering berkerjasama dengan bank untuk memberi jaminan sejak kebelakangan ini?

Ini merupakan bukti komitmen Danajamin untuk berkerjasama dengan industri perbankan untuk menyediakan pelbagai pilihan pembiayaan kepada korporat.

Seterusnya, kerjasama ini yang melibatkan perkongsian risiko juga bermanfaat kepada semua pihak yang terbabit dari segi pengurusan risiko portfolio yang lebih baik. Kelulusan yang diterima daripada bank-bank (selain dari Danajamin) untuk transaksi tersebut juga merupakan pengesahan dan perakuan oleh pasaran terhadap transaksi-transaksi yang kami sertai.

Adakah Danajamin menjamin bon/sukuk yang enggan dijamin oleh bank-bank lain?

Tidak. Sehingga kini, sebahagian besar transaksi yang dijamin oleh Danajamin melibatkan jaminan bersama dengan bank-bank lain.

Ini membuktikan bahawa transaksi yang dijamin oleh Danajamin mempunyai kredit yang munasabah dan yang boleh diterima oleh bank-bank lain.

Adakah Danajamin akan terus wujud selama mana Jaminan Kewangan yang telah dikeluarkan? Adakah penubuhan Danajamin dimatlamatkan sebagai satu agensi hayat terhad?

Matlamat Danajamin bukan sebagai sebuah agensi hayat terhad, sebaliknya bertujuan beroperasi secara berterusan.

Ini sejajar dengan peranan serta objektif jangka panjang Danajamin untuk menjadi pemangkin yang merangsang dan membangunkan Pasaran Modal secara berterusan.