Tatakelakuan Pembekal

Tatakelakuan Pembekal ini bertujuan untuk menggariskan prinsip dan standard tingkah laku yang ditetapkan oleh Danajamin terhadap kontraktor, vendor, perunding atau mana-mana pihak ketiga yang berurusan dengan Danajamin (selepas ini dirujuk sebagai “Pembekal”) bagi menjamin suatu hubungan perniagaan yang mampan. Hal ini penting memandangkan Danajamin percaya bahawa menjalankan semua urusan perniagaan secara adil, telus dan profesional adalah saling berkait dalam mengekalkan kepercayaan dan keyakinan para pemegang taruh terhadap Danajamin.

Sebagai rakan niaga, Pembekal mestilah mempamerkan tahap tatakelakuan perniagaan yang baik, berintegriti dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

  1. Amalan Perniagaan Beretika
  2. Polisi Antirasuah dan Antipenyelewengan
    Danajamin mengambil pendekatan tiada toleransi terhadap semua bentuk rasuah dan penyelewengan. Pembekal adalah dikehendaki untuk mematuhi semua undang-undang yang terpakai berkaitan pencegahan rasuah dan penyelewengan. Sehubungan itu, Pembekal adalah dilarang sama sekali menawarkan, menjanjikan, membenarkan, memberikan, menerima atau bersetuju untuk menerima apa-apa jua bentuk suapan (seperti mana yang terkandung dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 termasuklah peruntukan pindaan Akta tersebut pada tahun 2018). Pembekal juga adalah dilarang memaksa atau menggunakan kekerasan ke atas warga kerja untuk menerima apa-apa bentuk rasuah melalui permintaan mereka. Pembekal mestilah meminta ejen atau subkontraktor lantikan mereka untuk mematuhi syarat yang telah digariskan tersebut.

    Polisi Tiada Hadiah
    Pembekal adalah dilarang sama sekali daripada menawarkan atau memberi, meminta atau menerima apa-apa bentuk hadiah tanpa mengira amaun atau nilainya. Hadiah yang dimaksudkan adalah termasuk wang tunai, apa-apa yang setara nilainya dengan wang tunai (seperti baucar membeli-belah atau baucar makanan, tiket penerbangan, tiket acara), barangan (seperti hadiah perayaan) dan potongan harga ke atas apa-apa barang atau perkhidmatan.

    Sekiranya hospitaliti diberikan atau ditawarkan oleh Pembekal atau warga kerja Danajamin, hospitaliti tersebut mestilah munasabah dan mempunyai justifikasi (tidak mewah dan luar biasa), dengan tidak ada apa-apa yang khusus atau apa-apa yang diharapkan sebagai balasan. Hospitaliti tersebut juga tidak boleh diberikan dengan tujuan mempengaruhi sesuatu pihak untuk memberi atau memperoleh apa-apa kelebihan perniagaan. Pendekatan ini adalah untuk mengelakkan keadaan yang cenderung dilihat sebagai suatu pengaruh tidak wajar serta bagi melindungi integriti dan ketelusan hubungan perniagaan antara Danajamin dan Pembekal, walaupun hospitaliti yang diberikan rendah nilainya.

    Sebagai contoh, hospitaliti juga turut merangkumi makanan dan hiburan seperti kehadiran di acara sosial, kebudayaan dan sukan.

    Konflik Kepentingan
    Pembekal mesti mengenalpasti dan mengelakkan konflik kepentingan dan hendaklah:

    • Tidak meletakkan kedudukan mereka dalam keadaan di mana kepentingan peribadi, kewangan atau seumpamanya berkemungkinan mempengaruhi atau memberi tanggapan pengaruh terhadap sebarang tindakan yang diambil, pertimbangan yang dibuat atau nasihat yang diberikan bagi pihak Danajamin; dan
    • Semua keputusan dan tindakan berkaitan perniagaan mestilah dibuat demi kepentingan Danajamin dan bukannya berpandukan pertimbangan atau hubungan peribadi.
  3. Kerahsiaan
  4. Pembekal hendaklah menjaga kerahsiaan semua maklumat sulit yang diperolehi secara langsung atau tidak langsung daripada Danajamin.

    Pembekal adalah dilarang sama sekali daripada menggunakan maklumat sulit tersebut untuk keuntungan peribadi atau mendedahkannya kepada pihak yang tidak dibenarkan atau melanggar mana-mana perjanjian kerahsiaan yang ditandatangani dengan pihak Danajamin.

    Pembekal hendaklah mengendalikan semua maklumat sulit sebagai “sebenar-benar sulit dan persendirian” dan tidak boleh menyebarkan maklumat berkenaan kepada sesiapa melainkan dikehendaki oleh peruntukan undang-undang atau dibenarkan oleh Danajamin.

  5. Pematuhan kepada semua undang-undang dan peraturan termasuk Pencegahan Pengubahan Wang Haram & Pencegahan Pembiayaan Keganasan
  6. Pembekal adalah dilarang sama sekali daripada terlibat secara sengaja atau membuat cubaan untuk mengambil bahagian dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti yang diharamkan undang-undang. Pembekal juga adalah dilarang daripada berurusan dengan individu dan syarikat yang telah dikenakan sekatan ekonomi antarabangsa serta mestilah mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa. Pelanggaran kepada polisi ini membolehkan kontrak Pembekal ditamatkan.

Melaporkan Kelakuan Tidak Beretika
Danajamin berharap Pembekal peka terhadap apa-apa kesalahan atau kelakuan tidak wajar yang dikesan dan seterusnya dapat menyalurkan laporan berkaitan perkara tersebut kepada Danajamin melalui whistleblowing@danajamin.com. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Polisi & Prosedur Pemberi Maklumat.